PPSM masih tunggu makluman terbaru daripada kerajaan
Posted by Admin on 11/05/2009 14:16
Sinar Harian 6 Mei 2009

SHAH ALAM - Masih belum terdapat perbincangan terkini antara kerajaan dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) berhubung isu status agama anak apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam.

Timbalan Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya masih menunggu makluman terbaru daripada kerajaan bagi membincangkan isu yang melibatkan pindaan sistem Perlembagaan yang sedia ada.

Extended News

“Masih belum mendapat apa-apa makluman dan penjelasan daripada kerajaan. Kami tertanya-tanya apakah perkembangan terbaru berhubung isu tersebut,” katanya semalam.

Beliau turut menafikan telah wujud satu jawatankuasa di peringkat Jabatan Peguam Negara bagi membincangkan isu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom kelmarin berkata, satu mesyuarat bagi mencari penyelesaian berhemah berhubung isu ini akan diadakan tidak lama lagi membabitkan beberapa kementerian dan jabatan agama.

Mesyuarat tertutup itu juga berkemungkinan disertai beberapa pertubuhan agama, tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam satu kenyataan akhbar berkata, sepatutnya isu dalam kes Pathmanathan @ Mohd Ridzuan yang menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau anuti sekarang tidak perlu ditimbulkan.

Menurutnya, isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini di mana mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa, “Agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

“Mahkamah Persekutuan mentafsirkan hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada mana-mana salah seorang daripada mereka iaitu ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh dianuti oleh anak-anak mereka.

From: mohd naim mohd zain